Sunday 25 December 2011

IKHLAS ~bahagian I



Ikhlas. Mustahilkah?



"Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan SWT, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja itulah yang diperintahkan kepadaku, dan aku adalah orang yang kali pertama yang berserah diri kepada Allah SWT."  
                                                                                                                              [Al-An'am :162-163]



Ramai antara kita mungkin sering mendengarkan kalimah suci yang satu ini, namun tidak ramai yang mengerti hakikat ikhlas yang sesungguhnya. Benarkah? Ikhlas. Kalimah yang teramat mudah diungkapkan. Namun, adakah semudah memijak semut untuk mengaku diri seorang yang ikhlas? "Saya ikhlas membantumu." "Tidak apa-apa, saya ikhlas melakukannya." "Saya sungguh-sungguh ikhlas." Mudah bukan? Sering, kita dengar. Benarkah ikhlasnya hati seiring dengan kalimah yang dituturkan? Mari, sama-sama kita selusuri hakikat ikhlas sebenar, dalam usaha kita mencontohi tauladan junjungan besar, Nabi Muhammad SAW yang tercinta. InsyaAllah.




Ikhlas pada hakikatnya berupa suatu sifat yang tertanam di dalam hati, yang perlu dilakukan dengan mujahadah yang berterusan. Seseorang tidak akan mencapai sifat ikhlas yang sebenar tanpa mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas. Pada zahirnya, ramai orang boleh mengatakan keikhlasan dirinya, namun hanya Allah SWT sahajalah yang benar-benar mengerti hakikat keikhlasan yang dituturkan. Perbuatan-perbuatan lahiriah yang indah dapat dilahirkan dengan hati yang ikhlas, tak tercemar dengan buruknya niat di dalam hati, namun siapakah yang mampu menyelami niat manusia jauh di dasar. Akal manusia amat terbatas, terlalu jauh dibandingkan ilmu Allah. Ibarat setitis air di lautan dalam. Hanya muslim sejati yang akan meletakkan niat hidupnya untuk mendapat redha Allah. Seluruh ucapan dan tindakannya untuk mendapat redha Allah dan kebaikan pahala dariNya.


Kehalusan ikhlas itu..


Dua unsur yang tidak dapat dipisahkan dari sifat ikhlas iaitu niat yang benar untuk mencari keredhaan Allah semata-mata serta amal perbuatan yang menepati sunnah dan syara’. Tanpa dua unsur ini, keikhlasan tidak dapat diterapkan dengan sempurna. Dan perlulah diingat bahawa, hanya amalan yang disertai keikhlasan yang akan diterima oleh Allah. Amalan yang dilakukan dengan niat yang ikhlas tetapi bercanggah dengan syara’ tidak akan diterima, begitu juga sebaliknya. Ibarat seorang tukang kebun yang ingin mengusahakan perkebunan tuannya agar diterima, namun tidak melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan seperti menyiram pokok, menabur baja dan membersihkan kebun sebaliknya hanya duduk berehat-rehat membuang masa.



"Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah."
                                                                                                                                     [An-Nisaa': 125]



Para alim ulama’ bersepakat bahawa menerapkan nilai keikhlasan di dalam diri bukanlah perkara yang mudah. Terlalu banyak halangan untuk bermujahadah dengan sifat ikhlas. Musuh utama bagi sifat ini tidak lain ialah sifat riak yang meresap halus ke dalam jiwa. Penyakit hati lain juga tidak terkecuali seperti gila jawatan dan kedudukan, angkuh, sombong serta sukakan pujian dan sanjungan. Contoh mudah? Terkadang, seseorang sengaja melambat-lambatkan pergerakan di dalam solatnya tatkala ada insan lain yang menghampiri, terkadang juga seseorang yang sedang berqiamullail terdetik di hati, "Aku berjaya bangun untuk solat malamku ketika insan lain lena dibuai mimpi," dan terkadang seseorang yang berjuang di jalan Allah berasa bangga kerana dirinya dilihat sebagai seorang pejuang. Astaghfirullahalaziim...T___T



Marilah kita renungkan kata para alim ulama ini:


Yahya Ibnu Katsir menjelaskan, 
"Belajarlah niat, kerana niat itu lebih sukar, berbanding praktiknya."


Sufyan Tsauri pula mengatakan,
"Tidak ada sesuatu yang lebih sukar yang aku perbaiki, melebihi sukarnya memperbaiki niat dalam diriku, kerana niat dalam diriku selalu berubah-ubah."


Daud at-Thay berkata,
"Aku melihat banyak kebaikan yang dikotori oleh buruknya niat. Maka sertakanlah perbuatan baikmu dengan niat yang baik, jangan kau nodai perbuatan baikmu dengan niat yang tidak baik."


Yusuf Ibnu Asbath menjelaskan,
"Memurnikan keikhlasan dari kerosakannya, lebih berat pelaksanaannya daripada para alim yang telah lama berjihad."


Abdullah Ibnu Mubarak berkata, 
"Banyak amal perbuatan kecil, menjadi besar nilainya (di mata Allah) kerana niatnya, sebaliknya banyak amal perbuatan besar, menjadi kecil, bahkan tidak bererti (di mata Allah) kerana niatnya juga."


Rasulullah mengajarkan kita agar bergaul dan mendekatkan diri dengan para mukhlisin untuk ikhlas dalam setiap amal perbuatan. 


Sabda Baginda,
"Mereka adalah kaum yang tidak akan menyusahkan orang yang berkawan, dan bergaul dengan mereka."  [HR. Bukhari dan Muslim].


 Sabda Baginda lagi,
"Orang mukmin adalah cermin bagi yang lain." [HR. Bukhari].


Seorang penyair menyatakan :
"Jika engkau ingin tahu tentang seseorang, maka tanyalah rakan karibnya. Kerana setiap rakan akan mencontohi rakan terdekatnya."



Bergaullah dan jalinkanlah hubungan dengan orang-orang yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, tulus menyerahkan diri mereka kepada Allah, saling membantu berdasarkan kebaikan dan ketaqwaan, rajin beribadah di masjid, dan sentiasa melaksanakan dakwah dalam kehidupan mereka. Ketaatan yang dilakukan secara berjemaah nescaya akan membantu dan memudahkan jalan menuju Allah berbanding berseorangan yang lebih terdedah kepad maksiat kerana lemahnya hati dan iman.



"Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain."
                                                                                                                                       [At-Taubah :71]
  


Hakikat keikhlasan hanya mampu digapai oleh orang yang sentiasa mendidik hawa nafsunya untuk menunaikan ketaatan. Nafsu tidak mampu dibunuh mahupun dibuang dari dalam nafsu. Tetapi mampu dididik dengan azam dan keinginan yang kuat. Sesungguhnya Allah berjanji tidak akan menyia-nyiakan hambaNya yang sentiasa berbuat baik dan tulus beribadah kepadaNya. Dia akan melapangkan jalan menujuNya sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :


"Orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat baik."
                                                                                                                                    [Al-Ankabuut :69]


Allah turut menjelaskan dalam ayat-ayatNya tentang mereka yang berlaku riak,


"Dan orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka kerana riak kepada manusia, dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai teman, maka syaitan itu adalah teman yang paling buruk."
                                                                                                                                        [An-Nisaa':38]


"Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dalam solatnya, orang-orang yang riak dan enggan menolong dengan barang berguna."
                                                                                                                                    [Al-Maa'uun :4-7]


Abi Ibnu Ka'ab meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
"Berikan khabar gembira kepada umat ini, bahawa mereka diberi ketinggian darjat, kemuliaan dengan agama, dan kekuatan di muka bumi ini. Barangsiapa antara mereka yang melakukan pekerjaan akhirat untuk kepentingan dunia, kelak di akhirat, dia sama sekali tidak mendapat apa-apa."  [HR. Ahmad]


Sesungguhnya, memurnikan ketaatan kepada Allah disertai keikhlasan dalam hidup adalah perlu dan penting bagi membolehkan segala amal diterima Allah SWT. Hati perlulah dijernihkan dari segala kepentingan duniawi dengan tidak berharap selain redhaNya.


Fudhail ibnu Iyyadh berkata, 
"Keberuntungan dunia mampu diraih dengan jejak langkah kaki. Sedangkan keberuntungan akhirat hanya mampu diraih dengan gerak hati."


Rasulullah SAW bersabda, 
"Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk tubuhmu dan tidak pula menilai keelokan wajahmu, tetapi Allah melihat (menilai) keikhlasan hatimu." [HR. Muslim]


Baginda juga ada menyebut,
 "Banyak orang yang berambut tidak terurus, berbaju renyuk dan pengemis, sering diusir jika mengetuk pintu (orang). Namun jika mereka melafazkan sumpah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya."  [HR. Muslim]


Akhir kalam sebelum coretan ini bersambung ke bahagian II, renungkanlah kata-kata Imam Syafie ini. Buat panduan kamu yang menginginkan agar ikhlas berputik di jiwa, sedarlah bahawa jiwa yang ikhlas itu akan sentiasa berbahagia dan tidak pernah mengeluh atas ujian TuhanNya... =)


Alangkah baiknya jika engkau tetap manis.
Meski hidup itu sendiri adalah pahit.
Dan alangkah baiknya jika engkau rela.
Walaupun manusia penuh dengan kemurkaan.
Alangkah baiknya di antara aku dan engkau tetap terjalin hubungan yang mesra
Walaupun di antara aku dengan seluruh alam telah hancur.
Jika benar-benar dari pihak engkau ada yang jujur,maka segala urusan mudahlah dihadapi.
Sebab tiap-tiap yang ada di antara tanah itu adalah semata-mata tanah belaka.
[Imam Syafie]


No comments: