Wednesday 18 January 2012

Pintaku padamu, wahai Adam




"Siapalah aku untuk meminta dirimu agar sempurna seperti yang aku harapkan,
Kerana aku sedar aku juga punya kelemahan yang tidak engkau sangkakan."



Padamu Adam,
Sungguh kasihmu amat ku dambakan,
Kasih sejati abadi berkekalan,
Bukan khayalan tetapi kenyataan,
Bahawa engkau kekasih idaman.


Dirimu ku perlu sebagai bimbingan,
Mencari redha jua ketenangan,
Akhlak terpuji tanda beriman,
Al-Quran dan sunnah jadi pegangan.


Dunia ini penuh perhiasan,
Jangan kau leka melayan perasaan,
Musuh utama adalah syaitan,
Tundukkan pandangan jauhi hasutan.


Padamu Adam,
Madah tidak seindah warisan,
Kata tidak semanis pujaan,
Hanya memberi sedikit peringatan,
Agar kelak jadi pedoman.


Wanita sopan wanita idaman,
Jadi pilihan jadi bualan,
Selagi belum diijabkabulkan,
Dipinang boleh disentuh jangan.


Dirimu Adam amat ku perlukan,
Akan ku nanti penuh harapan,
Pembawa sinar tuju kebahagiaan,
Moga kasih kan berpanjangan.


Padamu Adam,
Lewat sujud doa ku panjatkan,
Pintaku agar Dia makbulkan.



Monday 16 January 2012

Awak, saya tak nak bercinta lagi




Mencintai dan dicintai. Fitrahnya, suatu kemestian buat seorang insan. Hadirnya perasaan ini mungkin di kala ketidakmatangan dalam menilai cinta yang sejati. Namun, saat hati sudah pulang kepada Tuhan, cinta itu kembali bertandang dan berbunga semula. Ia mengundang 1001 kecelaruan.

Kenangan manis mahu pun sejarah hitam begitu asyik berputar menenggelamkan prinsip "bercinta selepas nikah". Bukan mudah diusir. Bukan mudah melupakan. Hanya Allah yang Maha Tahu betapa sengsara dan laranya hati menanggung seksa keseorangan. 
"Everytime ex-bf saya text balik, saya mudah sangat nak nangis. Saya tak nak bercinta lagi. Saya berjaya tak capel ngan mane-mane laki lepas tuh. Tapi hati saya sakit bila ingat ape yang dia pernah buat kat saya. Hari-hari saya bace doa minta petunjuk. Saya nak berubah. Saya tak suke ex-bf saya message saya. Setiap kali dia merayu, saya kata dalam hati, "Kau jangan capel. Kau bercinta lepas kahwin". Itu je yang mampu saya buat. Tapi hati saya kadang-kadang tak tahan. Kat FB kadang-kadang dia saje letak gambar mase saya dengan dia dulu".

Buat mereka yang pernah bercinta dan mahu berubah, kembali kepada yang lebih berhak, TAHNIAH!
Buat mereka yang sedang derita dan bermuhajadah dalam kecelaruan cintanya, TAHNIAH!
Buat mereka yang tidak putus asa berusaha untuk mencari cinta Tuhan semula, TAHNIAH!
Buat mereka yang terseksa dengan amukan nafsu cinta remaja dan kini sedang mengubatinya, TAHNIAH!

TAHNIAH dan pujilah diri!
Itu adalah satu kebanggaan! Satu kehormatan yang tertinggi daripada mereka yang tidak pernah bercinta. Untungnya mereka ini, pernah merasa syoknya bercinta dan deritanya bercinta. Mujahadah yang paling besar buat seorang hamba adalah melawan nafsunya sendiri!
Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah?". Baginda berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu." (Riwayat Al Baihaqi)

Walaupun status hadis ini adalah hadis dhaif, namun apa yang boleh diiktibarkan, bahawa jihad dalam konteks islam bukan semata-mata jihad mengangkat senjata, mahu pun jihad menuntut ilmu, malah meliputi jihad menentang hawa nafsu sendiri. Betapa pentingnya kita memahami konteks jihad secara syumuliah (keseluruhan) agar sisi pandang kita terhadap keindahan agama Islam bertambah sempurna. Ia berhasil ke arah kemantapan iman dan kedewasaan pemikiran seseorang hamba dalam menjiwai agamanya.
Dalam sebuah hadis bertaraf hasan, Nabi SAW bersabda: "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah."

Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali juga ada menyatakan :

"Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat."
Berhubung dengan ini Abdullah ibn Mubarak berkata : "Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu."




PUJUKLAH DIRI, LEPASKAN DIA PERGI


Hasil didikan (tarbiyyah) cinta dusta mengajar kita untuk tidak berpaling ke lembah hina itu lagi. "Putus cinta dan mahu bercinta kembali" perlu dibuang jauh-jauh. Nyahkan dari otak! Hapuskan dari hati!

Lihatlah wahai hamba kesayangan Allah, Allah mahu ajar kita, mahu didik kita, mahu tarbiyyah diri kita, betapa cinta sebelum nikah adalah hina. Mudahnya diri terperangkap dalam noda dan dosa. Asmara itu tidak bernafsu ketika akad. Kerana kesuciannya telah dibunuh hidup-hidup oleh kata-kata manis sang jejaka.

Ya! Mungkin kita cair dengan pujukan dan keindahan rupa si dia, tetapi itu tidak menjanjikan kebahagiaan selamanya yang kita cari. Hati kita sebenarnya tidak puas! Tidak puas menagih cinta dan kasih sayang manusia.

Cubalah renungkan kembali. Air mata kita begitu murah hanya kerana cinta manusia! Lemahnya diri tertawan dengan janji-janji si mulut manis. Tubuh badan diratah, maruah tergadai dan akhirnya kita ditinggalkan dengan bodoh sekali apabila sudah muak dan bosan. Andai itu tidak terjadi, bersyukurlah. Tetapi jika sebaliknya, bagaimana?

Manusia memuja muji kekasih kerana tidak kenal Allah. Mereka keliru cinta mana yang harus dipuja. Justeru, tatkala iman dan kepercayaan tidak utuh, seorang hamba akan dikepung syahwat dari seluruh arah, dikelilingi sifat keliru dari semua penjuru, semua itu akibat dari kelemahan ilmu dan ketumpulan mata hati. Maka yang yang dituntut ialah penyesalan. Sesallah sekarang sebelum kita disesalkan kelak. 
Oleh itu, siapkanlah jiwamu untuk dicuci, pujuklah diri dengan mendekatkan diri kepada Allah dan orang-orang soleh, pupuklah diri dengan tarbiyyah yang betul, kekanglah dari segala kehendak dan alat yang boleh menjerumuskan diri ke lembah terkotor itu lagi. 


Jika Facebook menjadi punca luka berdarah kembali, block/deletekan sahaja dia daripada akaun kehidupanmu! Tukarlah nama atau profile yang baru.

Jika handphone menjadi punca kegersangan cinta, tukar sahaja nombor yang baru tanpa berfikir dua kali! Lemparkan sahaja semua gambar dan kenangan bersamanya di dalam longkang najis! Bukanlah membenci, tetapi tegas dalam prinsip!!!

Jika dirinya hadir melintasi kepala otak, ambillah sejadah, rendahkan dahi menyembah bumi, ciumlah haruman syurga segar mewangi sedang menanti doa-doamu sebagai tetamunya. Allah SWT, Tuhan kita yang telah lama dipinggarkan juga tidak putus menunggu air mata untukNya. Ketagih berbicara dengan hambaNya dengan taubat dan penyesalan yang mendalam.

Hakikatnya, kata-kata penulis tidaklah sehebat mana jika dibandingkan ayat-ayat cinta dari langit. Tentu sahaja semangatnya tidak konsisten dan tidak begitu mendamaikan hati yang sedang lara dan keliru. Pujuklah diri, renungkan dalam-dalam dan ajarlah hati untuk menjiwai setiap bait kata-kata Allah ini. 
Firman Allah SWT : "Sesungguhnya beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang MENJAUHKAN DIRI dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang MEMELIHARA KEMALUANNYA kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang DICARI BALIK itu (zina dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang MELAMPUI BATAS. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi (SYURGA) FIRDAUS. Mereka KEKAL didalamnya." (Surah al-Mukminun ayat 1-11)

Bukankah itu lebih mengghairahkan?







>>semoga kita sama-sama mendapat kebaikan hidup di dunia dan akhirat kelak. Insya-ALLAH.

Sunday 15 January 2012

Couple? Bila nak berubah ni...


“Kau takda couple??? Kesiannya…”

“Ish, takkan lah kau takda pakwe kot. Kau kan cantik, baik, sopan, lemah lembut lagi.. Pendek kata, lengkap pakej lah!”

“Kenapa kau tak cari pakwe? Tak rasa sunyi ke asyik sorang-sorang je??”

“Sorry lah, aku busy. Petang ni aku ada date dengan boyprenggg aku. Tu lah…kalau kau ada boyprenggg kan senang, tak payah kau susah-susah cari kawan nak teman pergi makan. Mana-mana kau nak pergi, ajak je boyprenggg kau tu.”

Mungkin ada di antara anda yang pernah diajukan kata-kata seperti ini. COUPLE. Istilah yang tak asing lagi dah dalam kalangan kita semua sekarang ni. Malah, kalau kita nampak seseorang tu pakai cincin pun kita dah assume yang dia ber-couple, even kita tak kenal pun dia tu. Betul tak??? Bila kita nampak lelaki perempuan berdua-duaan kat shopping complex ke, kat kedai makan ke, kat taman, tasik dan segala tempat yang seangkatan dengannya, kita rasa tak heran lagi dah. Sebab apa?? Sebab benda macam ni dah jadi biasa sangat. Dengan sendirinya dalam kepala kita akan keluar kata-kata macam ni,

“Couple…biasalah. Tak dating tak sah!”

Adakah sebab kita rasa dah biasa sangat nampak, baru kita tak heran? Tak peduli, even yang dating tu kawan-kawan kita? Macam tu ke? Kita sebagai kawan, kenapa tak tegur? Takut? Kalau bukan kita sebagai kawan yang menegur, siapa lagi yang hendak tegur.. Memanglah ustaz ustazah ramai, orang-orang yang berilmu, beragama pun ramai, tapi takkan nak harap kat diorang je kot. Tugas diorang menyebarkan dakwah, diorang buat. Tugas kita pulak macam mana? Setiap muslim merupakan khalifah di muka bumi ALLAH ini. Jadi, kita juga haruslah menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah, sebagai pemimpin. “Selemah-lemah iman adalah mencegah dengan hati.” Jika iman kita lemah, bukankah kita sepatutnya berusaha untuk menguatkannya? Bila dah cegah dengan hati, cegah pulak dengan lidah (kata-kata), kemudian barulah boleh cegah dengan tangan (kuasa). Kalau nak cegah dengan kuasa tu memanglah agak sukar untuk dilaksanakan, memandangkan kita ni bukanlah terlibat dengan politik ke apa kan. Tapi, cegah kemungkaran dengan hati dan kata-kata, masih mampu kita lakukan betul tak? Manalah tahu dengan kata-kata kita tu, kita berjaya mengajak kawan-kawan atau sesiapa yang melakukan kemungkaran ni berubah kepada kebaikan. Kembali pada jalan yang lurus, jalan yang diredhai ALLAH. We never know till we try.



Memang tak mudah untuk memutuskan sesuatu perhubungan tu, apatah lagi dengan orang yang sudah kita sayangi sepenuh hati. Tapi, apa gunanya bercinta namun tidak diredhai malah dibenci oleh ALLAH? Siapa kita untuk melebihkan manusia berbanding pencipta kita. Sungguh tidak layak rasanya untuk membelakangi Dia hanya semata-mata kerana cinta manusia. Apatah lagi jika kita sendiri tidak pasti sama ada si dia benar-benar merupakan jodoh kita. Seringkali ramai yang terpedaya dengan janji-janji manusia. Apakah janji manusia itu dapat menandingi janji pencipta kita? Sudah semestinya tidak. Janji ALLAH sebagai perancang kehidupan kitalah yang selayaknya dipercayai. Fikirkanlah, jika tidak sekarang bila lagi? Kenapa perlu tunggu kemudian hari untuk membetulkan kesilapan jika kita tahu apa yang kita lakukan sekarang ni salah? Betulkan kesilapanmu itu sekarang. Usah dinanti pada yang tak pasti.

Bagi yang sudah berjaya memutuskan perhubungan haram anda, TAHNIAH saya ucapkan! Anda berjaya melakukan kebaikan yang tidak semua orang lakukan. Masih ada lagi di luar sana yang belum memperbetulkan kesilapan mereka. Mungkin mereka beranggapan masih ada masa untuk mereka membuat pembetulan atas kemungkaran yang mereka lakukan. Atau mungkin ada juga yang mengatakan bahawa mereka akan putus bila dah cukup bersedia. Tapi, percayalah. Anda tidak akan pernah bersedia, kerana anda menyangkakan bahawa semakin lambat anda putus, semakin anda bersedia. Namun, perkara sebaliknya yang akan berlaku. Semakin lambat anda membuat keputusan, semakin bertambah keraguan anda terhadap perkara tersebut. Anda ingin mengumpul semangat. Tapi, adakah anda sedar bahawa anda juga sedang mengumpul dosa? Renung-renungkan.

Tapi kalau dah memang bagi yang bercouple tu tak boleh nak putuskan, kenapa perlu teruskan dalam keadaan ALLAH tak redha? Satu-satunya cara untuk menghalalkan apa yang anda lakukan adalah dengan pernikahan. Tapi, ingat. Bernikah setelah bercouple tidak bermakna anda bebas daripada dosa-dosa yang telah anda lakukan dengan pasangan anda sebelum anda menikah. Dosa tetap dosa. Dan bagi mereka yang telah berkahwin dengan pasangan couple anda, harus diingat bahawa anda berdua hendaklah bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Berusaha untuk menyucikan diri dengan memohon keampunan daripada-Nya atas segala kemungkaran yang telah dilalui. Semoga kalian akhirnya nanti mendapat keberkatan pernikahan serta memperolehi zuriat dan keturunan yang soleh dan solehah, juga diredhai ALLAH.

hidup masih panjang..usah biarkan ia dipenuhi dengan perkara sia-sia.